Sunday 20 May 2018

Sambutan Hari Guru Petrosains 2018

Pada 12 Mei yang lepas, saya telah menyertai Sambutan Hari Guru yang dianjurkan oleh Petrosains. Sambutan ini diadakan lebih awal berbanding tarikh yang sebenar bagi memberi peluang kepada guru-guru untuk hadir bersama. 


Sambutan Hari Guru Petrosains ini telah diadakan di Dewan Persidangan, Tingkat 41, Menara Berkembar Petronas. Selain daripada sambutan hari guru, turut diadakan Majlis Penyampaian Hadiah bagi pemenang Cabaran Makmal Petrosains di majlis yang sama. 


Kami berpeluang untuk melawat pameran 10 sekolah yang berjaya ke peringkat akhir Pertandingan Cabaran Makmal Sains Petrosains yang julung kali diadakan pada tahun lepas. Sebagai perintis, pertandingan ini hanya dibuka kepada SBP sahaja, namun mungkin akan diperluaskan kepada sekolah harian biasa untuk musim yang seterusnya. Jadi, selain daripada menyertai Sambutan Hari Guru, kami juga berpeluang untuk berkongsi idea dan pengalaman bersama guru-guru lain dalam pelaksanaan PdPc secara lebih kreatif dan inovatif. 

Antara projek / idea PdPc yang telah dipamerkan oleh 10 sekolah finalis dalam Cabaran Makmal Sains 2018: 

Hamparan Kuadrat (Biologi)

Pengesan Elektrolit & Bukan Elektrolit (Kimia)

Fizik 

Projek membina sel elekrolitik daripada bahan terbuang (Kimia) 


Majlis sambutan dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh CEO Petrosains, Tengku Nasariah, diikuti dengan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tn. Hj. Aminudin b. Adam, yang merasmikan majlis. Seterusnya, kami bersama-sama menyanyikan lagu keramat Hari Guru, iaitu "Kami Guru Malaysia" dan kemudiannya memotong kek hari guru. Sejurus selepas itu, kami diberikan kejutan istimewa dengan kemunculan Dayang Nurfaizah selaku artis jemputan yang memeriahkan majlis. 


Artis jemputan, Dayang Nurfaizah 

Saya rasa bertuah kerana telah terpilih sebagai salah seorang tetamu untuk majlis sambutan tertutup ini. Sebagai seorang guru yang sudah agak biasa dengan program & pertandingan anjuran Petrosains, saya sememangnya tahu setiap acara yang dianjurkan oleh pihak Petrosains tidak pernah mengecewakan. 

Bersama pengacara majlis yang cukup menceriakan suasana 

Bersama CEO Petrosains, YM Tengku Nasariah Tengku Syed Ibrahim

Jutaan terima kasih kepada pihak Petrosains yang telah menghadirkan peluang untuk menyertai Sambutan Hari Guru Petrosains pada tahun ini. 



p/s: makanan yang sedap & pemandangan yang menakjubkan dari tingkat 41 

No comments:

Post a Comment