Thursday 4 January 2018

Pelaksanaan Program DLP Tahun 2018

Hari ini, 4 Januari 2018, pihak Kementerian Pendidikan Malaysia telah pun mengeluarkan kenyataan media berkenaan pelaksanaan program DLP bagi tahun 2018. 

Setelah pembukaan kelas baru DLP ditangguhkan seketika, kini semua sekolah DLP sudah boleh membuka kelas baru DLP seperti biasa. Cuma bezanya, pada kali ini pembukaan kelas baru DLP hanya melibatkan Tahun 1 dan Tingkatan 1 sahaja. Sementara itu, semua kelas DLP sedia ada diteruskan seperti biasa. 

Bagi sekolah di Zon A (cuti Jumaat, Sabtu), kelas baru DLP akan bermula pada hari Ahad minggu hadapan, iaitu pada 7 Januari 2018. Manakala bagi sekolah-sekolah di Zon B, kelas baru DLP bermula pada hari Isnin, 8 Januari 2018. 

Berikut merupakan kenyataan media yang dikeluarkan oleh pihak KPM: 




Jadi, sekarang kita hanya menunggu Surat Pekeliling Ikhtisas yang terkini dikeluarkan. 

Tuesday 2 January 2018

Episod Perpindahan yang Tidak Dijangka

Benarlah. Rezeki itu tidak pernah salah alamat. 
Kadang biarpun sesuatu itu sudah ada dalam genggaman, tapi jika sudah tertulis bukan rezeki kita tetap akan terlepas jua. 
Namun jika sudah tertulis rezeki itu milik kita, biar jauh, cepat mahupun lambat tetap akan menjadi hak kita. 

Hampir 7 tahun saya menabur bakti di Bumi Kenyalang. Sekolah itu sudah menjadi sebahagian besar daripada hidup saya. Biarpun bukan sedikit yang perlu dikorbankan, namun saya gembira di sana. Juga bukan sedikit pengalaman yang telah dikutip serta ilmu yang ditimba. 

e-GTukar diisi saban tahun. Namun, belum sampai rezeki perpindahan ke Semenanjung. Sehingga pada suatu tahap, saya tidak lagi terlalu berharap. Ibarat sudah dapat menjangka, pasti e-GTukar akan gagal lagi buat kesekian lagi. 

Tanpa disangka-sangka, DIA menghadirkan peluang di depan mata. Tanpa berfikir lama, saya menerima dengan hati terbuka, berusaha melalui jalan yang berbeza daripada kebiasaannya. Permohonan secara manual dihantar, dan dalam masa 3 minggu, permohonan diluluskan. Saya rasa seperti tidak percaya sehinggalah tidak lama selepas itu, surat arahan rasmi bagi pertukaran ke KL tiba di tangan saya (berkuatkuasa 16 Oktober 2017). 

~ Ucapan perpisahan semasa perhimpuan mingguan yang terakhir ~

Ibarat baru tersedar dari lena, saya betul-betul tidak menyangka bahawa prosesnya secepat itu. Satu sekolah gempar dengan berita pertukaran saya (haha....) memandangkan permohonan perpindahan saya dilakukan tanpa pengetahuan sesiapa, kecuali Tuan Pengetua. Lebih-lebih lagi apabila pertukaran itu berlaku bukan dalam tempoh pertukaran yang biasa. Antara yang paling terkejut adalah Ketua Panitia Sains saya, Cikgu Yii Hea Lang yang cukup rapat dengan saya. 

Terlajak perahu sudah tidak boleh diundur lagi. Namun, memandangkan arahan pertukaran tiba pada saat kami semua begitu sibuk dengan urusan sekolah yang pelbagai, maka permohonan penangguhan melapor diri dihantar ke sekolah baru. Mujur mereka memahami dan memberi tempoh penangguhan sehingga sebulan. 

Dalam tempoh sebulan, saya seperti ayam tercabut ekor menyelesaikan segala tugas akhir tahun yang menggunung. Biarpun saya boleh mewariskannya kepada guru lain, namun seboleh mungkin saya ingin menamatkan setiap apa yang saya mulakan. Nota Serah Tugas akhirnya berjaya diserahkan pada hari terakhir saya bertugas di stesen lama. 


Benarlah juga kata pepatah Inggeris. You don't realize how much you love someone / something until they are really gone. Biarpun tetap gembira kerana pada akhirnya dapat berpindah ke tanah sendiri, namun rasa sayang terhadap sekolah lama tetap menebal. Tempoh masa 7 tahun bukan sekejap untuk saya lupakan sekolah itu dalam sekelip mata. Pasti akan mengambil masa, namun saya sentiasa cuba untuk positif. 

Makan malam terakhir bersama geng Panitia Sains & Mat 

Makan malam terakhir bersama geng cikgu-cikgu semenanjung di Sibu

Lunch terakhir bersama 2 orang ex-students yang paling rapat dengan saya
Thanx Ming Ming and Ah Hong for your treat 

Detik-detik terakhir sebelum ke airport Sibu. Kena tahan dengan pelajar.

Pecutan akhir SPM Kimia. Saya pulang semula ke Sibu untuk membimbing calon SPM Kimia 

Bersama salah seorang ex-student yang sangat baik hati, Yong Ing Kiet

Hari terakhir bersama batch Kimia SPM 2017. 


Akhirnya, pada 16 November 2017, saya melapor diri secara rasmi di Maktab Tentera Diraja, Kem Sg. Besi , KL. Pada masa itu, pelajar-pelajar Ting. 4 baru tamat peperiksaan akhir tahun dan menghadiri ekspedisi di Perak. Oleh itu, sampai sekarang saya belum berpeluang untuk merasai pengalaman dalam bilik darjah dan bersuai kenal dengan putera-putera di sana. Namun, apa yang pasti, sebagai satu-satunya institusi pendidikan yang berteraskan ketenteraan di Malaysia, semestinya MTD menjanjikan pengalaman dan budaya yang jauh berbeza daripada sekolah biasa. 

~ Pengalaman kali pertama terlibat dengan Passing Out Parade di MTD ~

Sesi persekolahan tahun 2018 bakal menjadi titik tolak bermulanya perjalanan dan pengalaman serba baru bagi saya di sekolah baru dan tempat tinggal baru. Selain daripada perlu bersedia dengan budaya kerja yang baru, saya juga perlu bersedia mental dan emosi untuk berhadapan dengan budaya hidup yang mencabar di kota raya besar, terutama bab makan jem di jalan raya. kehkeh..... 

Semoga tahun 2018 membawa sinar yang lebih gemilang buat saya.
Semoga segalanya akan dipermudahkan oleh-Nya. Insya-Allah..amiinn.... 

~ SERVE TO LEAD ~ 
~ BERKHIDMAT MEMIMPIN ~

Monday 1 January 2018

Dual Language Programme (DLP) Tahun 2018 Ditangguhkan

Penangguhan pembukaan kelas baru untuk Program DLP bagi tahun 2018 membuka tirai isu pendidikan pada tahun ini. 


Sebagai makluman bagi sekolah yang belum terlibat,  Program DLP merupakan suatu program di mana PdPc bagi mata pelajaran Matematik dan Sains dijalankan dalam Bahasa Inggeris sepenuhnya. Ia merupakan suatu inisiatif di bawah dasar MBMMBI, iaitu Memartabatkan Bahasa Melayu & Memperkasakan Bahasa Inggeris. 

Program DLP dimulakan pada tahun 2016 di sekolah-sekolah yang terpilih berdasarkan 4 kriteria yang dipenuhi, iaitu: 
1. Sumber yang mencukupi
2. Kesediaan sekolah 
3. Sokongan ibu bapa 
4. Pencapaian sekolah dalam Bahasa Melayu SPM 

Pada peringkat awal, ia melibatkan murid Tahun 1, Tahun 4 dan Tingkatan 1 bagi kohort 2016. 
Untuk kohort 2017, bilangan sekolah DLP semakin bertambah. Apabila telah terpilih sebagai sekolah DLP, maka program DLP perlu diteruskan terhadap kohort murid-murid seterusnya, manakala murid DLP pula akan terus berada dalam sistem DLP sehingga mereka tamat Tingkatan 5. 

Maka, ia merupakan suatu perkara yang agak mengejutkan apabila pihak kementerian mengambil keputusan untuk menangguhkan program DLP untuk kohort 2018 (kelas DLP sedia ada diteruskan seperti biasa). Lebih-lebih lagi apabila berita itu hanya disampaikan 2 hari sebelum sesi persekolahan tahun 2018 bermula. Surat rasmi penangguhan tersebut pula hanya akan dikeluarkan pada 2 Januari 2018. Sudah tentu ada sekolah yang sudah menyelesaikan sesi pendaftaran murid baru & telah melaksanakan taklimat penataran DLP kepada para ibu bapa. 

Berikut merupakan makluman mengenai penangguhan program DLP yang disampaikan oleh urusetia DLP di JPN: 


Penangguhan DLP secara tiba-tiba seperti ini menimbulkan banyak persoalan / isu / situasi kurang selesa di sekolah DLP. 

Kita ambil contoh sekolah DLP (SMK) kohort 2017. Bagi tahun 2018, kelas DLP yang ditawarkan sepatutnya Ting. 2 dan Ting. 1. Kelas DLP bagi Ting. 1 ditangguhkan, manakala kelas DLP bagi Ting. 2 diteruskan. 

Antara isu / persoalan yang bakal timbul adalah: 

1. Jika PdPc Sc dan Mat ting. 1 dijalankan dalam BM pada peringkat awal, kemudian program DLP diteruskan semula, adakah PdPc yang telah dijalankan sebelum ini perlu diulang semula dalam BI?

2. Adakah pelajar Ting. 1 2018 tidak perlu mengikuti DLP sehingga Ting. 3? Jika mereka dikehendaki mengikuti DLP selepas ia diteruskan semula, bagaimana dengan pelaksanaan PT3 nanti? 

3. Persoalan utamanya adalah, mengapa keputusan untuk menangguhkan DLP dilakukan secara tiba-tiba tanpa sebarang makluman rasmi kepada pihak sekolah, terutamanya kepada guru-guru yang bertindak sebagai pelaksana DLP? 

4. Sampai bilakah ia akan ditangguhkan? 

5. Sekolah perlu berhadapan dengan pelbagai respon, persoalan dan 'demand' daripada ibu bapa. Seharusnya sekolah perlu diberikan maklumat yang terperinci berkenaan hal ini. 

Apa-apa pun, kita harapkan agar isu penangguhan program DLP ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin. Semoga pihak kementerian juga dapat mengeluarkan surat pekeliling / surat siaran serta garis panduan terkini secepat mungkin kepada pihak sekolah. 

SELAMAT TAHUN BARU 2018 

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH KEPADA SEMUA GURU & MURID