Friday, 18 March 2016

PdP Kimia Ting. 4: Merentasi 4 Bab dalam masa 2 Minggu

Sukatan mata pelajaran Kimia ting. 4 ada 9 bab yang perlu dihabiskan dalam masa tidak sampai setahun. Jumlah tajuk yang terlalu banyak untuk diajar dan dikuasai oleh pelajar menyebabkan guru-guru terkejar-kejar untuk menghabiskan sukatan terutama sekali apabila melibatkan ‘very slow learners’.

Tahun ini, saya mengambil pendekatan untuk lari dari kebiasaan dan mengajar tidak mengikut turutan tajuk dalam HSP. Sebaliknya, saya mengajar mengikut tahap penguasaan pelajar (tajuk yang mudah dahulu, diikuti dengan tajuk susah) serta menghabiskan dahulu tajuk-tajuk yang berkait antara satu sama lain.

Sukatan m/p kimia Bab 3:
konsep mol à formula empirik à formula molekul à formula ion à formula kimia à persamaan kimia

Sesi PdP saya:
JBU à formula ion à formula kimia & molekul à ikatan kimia à persamaan kimia à konsep mol à formula empirik

Oleh itu, saya telah merentasi 4 bab yang berbeza tetapi melibatkan tajuk-tajuk yang berkaitan. Saya memulakan pengajaran merentasi bab ini setelah selesai tajuk Resapan & Naftalena.

Bagaimana caranya?

1. Berkenalan dahulu dengan JBU (Bab 4)

Seawal minggu pertama PdP Kimia, saya memperkenalkan pelajar dengan Jadual Berkala Unsur (JBU) dan menjelaskan kepada pelajar bahawa inilah unsur-unsur yang akan dipelajari.



2. Beza Unsur & Atom (Bab 2)

Ramai pelajar yang sering keliru antara unsur dan juga atom. Saya gunakan analogi rumah & batu bata. Berikut merupakan gambar yang saya gunakan:


sumber: http://www.dreamhomesource.com/house-plans/media/catalog/product/cache/3/image/


3. Struktur Atom & Perwakilan Piawai (Bab 2)

Selepas membincangkan sejarah perkembangan model atom, bincangkan struktur atom moden & penulisan perwakilan piawai bagi atom. Perbincangan juga termasuk sub-atom, nombor proton, nombor nukleon, susunan elektron dan simbol unsur. Cara melukis susunan elektron saya tunjukkan dengan menggunakan magnet.




4. Kedudukan Unsur dalam JBU (Bab 4)

Setelah pelajar faham cara menulis dan melukiskan susunan elektron bagi atom, minta pelajar lukiskan beberapa struktur atom di papan putih kelas. Minta mereka membuat pemerhatian dan perkaitan antara bilangan petala dan elektron valens dengan kedudukan unsur dalam JBU.

* bilangan petala = kala
* bilangan elektron valens = kumpulan

Bincangkan susunan unsur dalam JBU dengan pertambahan nombor proton.

5. Sifat Unsur-unsur Kumpulan 18 (Bab 4)

Perbincangan unsur Kumpulan 18 tidak panjang, jadi saya terus bincangkan bersama pelajar sifat fizik dan sifat kimia serta kegunaan setiap unsur Kumpulan 18. Dari situ, kaitkan kestabilan unsur-unsur Kumpulan 18 dengan susunan elektron & elektron valens.



6. Pembentukan Ion (Bab 2 + Bab 3)

Tanya pendapat pelajar bagaimana unsur-unsur lain mencapai kestabilan (susunan elektron oktet) – melalui perpindahan elektron, sama ada melepaskan elektron ataupun menerima elektron. Apabila perpindahan elektron berlaku, atom telah bertukar menjadi ion. Minta pelajar kelaskan ion-ion kepada ion positif (kation) dan ion negatif (anion). Kemudian, namakan ion & perkenalkan kepada formula ion.

7. Pembentukan Sebatian Ion & Formula Kimia (Bab 3 + Bab 5)

Apabila elektron yang dilepaskan oleh sesuatu atom diterima oleh atom yang lain, ion-ion yang berlawanan cas tertarik antara satu sama lain dan membentuk sebatian ion melalui ikatan kimia. Bina formula kimia menggunakan kaedah darab silang.


8. Ion Kompleks & Formula Kimia Sebatian (Bab 3)

Setelah pelajar faham tentang perpindahan elektron antara atom, pembentukan ion, pembentukan sebatian & pembinaan formula kimia, baru saya perkenalkan kepada ion-ion kompleks seperti ion ammonium, ion sulfat, ion karbonat dan sebagainya. Semua ion yang perlu pelajar ketahui mereka senaraikan. Pembinaan formula kimia sebatian diteruskan dengan penggunaan Kad Mnemion.


9. Persamaan Kimia (Bab 3)

Pengetahuan tentang formula kimia dikembangkan dengan pembinaan persamaan kimia. Saya mendedahkan pengetahuan tentang persamaan kimia lebih awal kepada pelajar kerana ia merupakan antara soalan wajib dalam SPM, iaitu penghitungan berdasarkan persamaan kimia.



9 tajuk di atas saya habiskan dalam masa 2 minggu @ 4 sesi PdP (tidak termasuk sesi latih tubi).
Selepas ini baru saya merancang untuk membincangkan konsep mol & formula empirik. Jadi, apa yang saya buat sebenarnya adalah ‘reverse’ daripada turutan dalam sukatan.

Bagi saya, apa yang paling  penting adalah tahap penerimaan pelajar. Apa yang saya perhatikan selama ini, pelajar-pelajar sekolah saya menghadapi kesukaran untuk menguasai konsep yang dipelajari, terutamanya apabila melibatkan kemahiran yang abstrak, kompleks dan melibatkan KBAT. Sebab itulah saya tukar dan bermula dengan asas yang paling mudah kemudian kemahiran yang lebih sukar (mereka sangat lemah matematik & pengiraan).

Ini cara saya. Anda pula bagaimana…?  



3 comments:

  1. Seronoknya cara Cikgu Nurul mengajar. Mohon izin untuk menggunakan bahan dari blok Cikgu untuk diguna dalam P&P saya.

    ReplyDelete
  2. boleh berikan arahan yang lebih jelas pada saya?
    harap dapat membantu diri untuk spm tahun ini.
    e mail sya fikreerashid@gmail.com

    ReplyDelete
  3. Assalam cikgu nurul, saya berminat tentang kad mnemonion. Boleh ke saya nak minta arahan yang jelas supaya dapat buat dalam kelas nanti. Terima kasih ya. Apa2 nanti cikgu bileh emel di bihahkhalil@gmail.com

    ReplyDelete