Saturday, 14 November 2015

Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform 2015

Dua hari lepas, iaitu pada 12 & 13 November 2015 ( Khamis & Jumaat ), sekolah saya telah menjalankan program Perkhemahan Bersepadu Unit-unit Beruniform. Program ini merupakan antara acara wajib yang dijalankan di sekolah pada setiap hujung tahun memandangkan para pelajar telah tamat Peperiksaan Akhir Tahun. Pelajar-pelajar yang terlibat ialah pelajar Tingkatan 1 – 4. Aktiviti perkhemahan ini melibatkan 6 unit beruniform, iaitu Pengakap, Pandu Puteri, Kadet Polis, Kadet Bomba, Kadet Remaja Sekolah dan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) selaku pengelola pada tahun ini.

Aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang 2 hari perkhemahan adalah:

1. Taklimat Program & Taklimat Keselamatan

Sebelum para pelajar mula memasang khemah, mereka diberikan taklimat berkenaan aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan sepanjang 2 hari perkhemahan di Dewan Sri Bawang. Taklimat program disampaikan oleh Cikgu Su Hiap Soon, selaku ketua guru penasihat BSMM. Seterusnya, taklimat keselamatan disampaikan oleh Cikgu Azairuddin bagi memastikan semua pelajar sentiasa mengutamakan keselamatan serta berdisiplin sepanjang aktiviti perkhemahan berlangsung. Memandangkan hujan di luar belum menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti, maka taklimat program dipanjangkan sehingga hampir jam 9.00 pagi.


2. Mendirikan khemah

Kami tidak menggunakan khemah pasang siap, jadi pelajar-pelajar perlu mendirikan khemah sendiri dengan menggunakan kayu. Batang-batang kayu diambil dari kawasan semak dan belukar di sekitar padang sekolah. Peralatan seperti parang dibekalkan, tetapi di bawah pemantauan guru. Kebanyakan pelajar sudah biasa dengan kerja-kerja seperti ini memandangkan mereka sudah biasa dengan survival hidup di hutan.  Jadi, tidak banyak yang perlu diarahkan, hanya perlu memastikan cara ikatan yang betul digunakan kerana ia akan diberikan markah untuk pertandingan khemah terbaik. Dalam masa kurang 2 jam, semua khemah telah siap didirikan. Selain daripada khemah, mereka juga perlu menyediakan tempat memasak dan beberapa gajet seperti para peralatan memasak dan sebagainya. Nasib baik juga cuaca redup sepanjang pagi ini.





3. Pertandingan Raja & Ratu Rimba

Sambil-sambil mereka memasang dan menghias khemah, mereka juga mula menghias pelajar yang terpilih untuk Pertandingan Raja & Ratu Rimba. Biasanya, pelajar-pelajar junior lah yang selalu menjadi mangsa untuk ‘dikerjakan’ oleh pelajar-pelajar senior. Kemudian, pada jam 11.00 pagi Raja & Ratu Rimba diarak ke astaka untuk sesi pengadilan. Seronok juga melihat mereka catwalk yang tak menjadi dan mendengar komen-komen lucu daripada para juri.





4. Pertandingan Khemah Terbaik

Lebih kurang jam 12.00 tengah hari, para juri mula melawat tapak perkhemahan untuk memberikan markah bagi setiap khemah unit beruniform. Kekemasan dan kebersihan kawasan sekitar khemah turut diambil kira.




5. Pertandingan Masakan Rimba

Sejurus selesai mendirikan khemah, mereka mula menyediakan tempat memasak dan menghidupkan api. Peralatan memasak dan bahan-bahan masakan asas dibekalkan oleh dewan makan, tetapi dalam jumlah yang terhad. Bahan-bahan basah seperti ikan dan ayam juga dibekalkan oleh dewan makan bagi memastikan kehalalan dan kebersihannya. Kalau nak tunggu budak-budak tangkap sendiri, lepas tu sembelih sendiri, penat lerrr…….

Memandangkan malam sebelum itu hujan lebat tidak berhenti sehingga pagi ini, maka proses menghidupkan api menjadi satu cabaran yang sangat besar. Elok-elok je api dah besar, tak lama selepas itu padam balik. Kena tiup lagi, hidupkan balik. Sepanjang masa memasak, itu ajelah kerja budak-budak ni, tiup api tak berhenti. Nasib baik kebanyakan pelajar menunjukkan kerjasama sepasukan yang baik.





Pemilihan cara masakan terpulang pada kreativiti setiap pasukan. Tetapi ada satu menu yang wajib disediakan setiap pasukan, iaitu pansuh - manok pansuh (ayam pansuh) dan ikan pansuh. Ini juga merupakan menu yang ditunggu-tunggu untuk dirasa para guru terutama guru-guru dari tanah semenanjung memandangkan menu ini merupakan signature bagi masyarakat Iban di sini, jadi ianya jarang-jarang dapat dirasa. Ianya dibakar dalam buluh selepas diperap seketika bersama dengan bahan-bahan tertentu (errr……lupa pulak resepinya). Lebih kurang sama saja macam kita bakar lemang. Jadi, agak lama masa yang diambil untuk memasaknya dan nyalaan api perlu sentiasa dipantau. Rasanya memang sedap jika kena dengan caranya. (susah tau tekak saya ni nak rasa sedap masakan tradisi tempatan).



Selesai memasak, mereka makan beramai-ramai di bawah khemah. Sebahagiannya pula dihidangkan kepada para juri di khemah urusetia. Terharu tengok budak-budak makan setelah seharian berpenat lelah, siap hirup sup sampai licin periuk (budak pasukan saya la ni). Huhuhu…….. Cikgu-cikgu pulak ber-barbeque di khemah urusetia. Aktiviti masak-memasak mengakhiri aktiviti perkhemahan untuk hari pertama.






6. Senamrobik

Hari kedua perkhemahan dimulakan dengan senaman pagi. Seperti biasa, aktiviti senamrobik ini diketuai oleh Cikgu Doris and the team. Kesian pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang bersidai di beranda Pusat Sumber…..teringin nak join sekali laa tu, tapi tak boleh. Hehehe……..





7. Pertandingan Kawad Kaki

Seterusnya, para pelajar membuat persediaan terakhir untuk Pertandingan Kawad Kaki. Manakala pelajar-pelajar yang tidak terlibat, mereka ke tapak perkhemahan untuk membersihkan kawasan masing-masing. Cuaca pada pagi ini cerah dan matahari memancar dengan agak terik. Maka, berkawadlah mereka dalam keadaan panas. Apa yang penting, kerjasama dan semangat sepasukan.





8. Ceramah Pertolongan Cemas

Selesai pertandingan kawad kaki, para pelajar dan guru ke Dewan Sri Bawang bagi mendengar ceramah pertolongan cemas (termasuk CPR) yang disampaikan oleh Cikgu Tang dari SMK Tung Hua.




9. Penutupan & Pembahagian Hadiah

Pada jam 11.15 pagi, majlis penutupan Perkhemahan Bersepadu Unit Beruniform 2015 diadakan secara ringkas. Majlis dimulakan dengan persembahan montaj aktiviti-aktiviti yang berlangsung sepanjang perkhemahan, diikuti dengan ucapan perasmian penutupan oleh PKKK, Cikgu Patrick Gerijeh dan diakhiri dengan upacara pembahagian hadiah kepada semua unit beruniform yang terlibat dengan aktiviti perkhemahan pada kali ini.

Senarai keputusan pertandingan:

      i)     Pertandingan Raja & Ratu Rimba: Pandu Puteri
     ii)     Pertandingan Khemah Terbaik: Kadet Remaja Sekolah
    iii)     Pertandingan Masakan Rimba: Kadet Remaja Sekolah
    iv)     Pertandingan Kawad Kaki: BSMM

Keputusan keseluruhan:

  1. Pengakap
  2. Kadet Remaja Sekolah
  3. Pandu Puteri
  4. Kadet Bomba
  5. BSMM
  6. Kadet Polis


TAHNIAH dan syabas diucapkan kepada semua pelajar yang telah terlibat sepanjang aktiviti perkhemahan 2015 selama 2 hari ini. Tahniah kepada pasukan yang berjaya memenangi pertandingan. Kepada pasukan yang kurang berjaya, jangan berputus asa, cuba lagi tahun hadapan.


Sekalung penghargaan & terima kasih:
- Pengetua, En. Lau Siah Teck, selaku penaung
- PKKK, En. Patrick Gerijeh
- Pengelola program, BSMM: Cikgu Su, Cikgu Yii, Cikgu Alicia  
- Penyelaras Unit Beruniform, Cikgu Chiam
- Ketua keselamatan, Cikgu Azairuddin
- Ketua AJK Peralatan, Cikgu Madya
- Penyelaras-penyelaras pertandingan
- AJK-AJK lain yang tidak tersebut namanya
- Guru-guru penasihat Unit-unit Beruniform
- Juri-juri pertandingan
- Pihak dewan makan 

dan kepada SEMUA pihak termasuk guru-guru & AKP yang telah terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung sepanjang aktiviti perkhemahan 2015.


JUMPA LAGI TAHUN DEPAN! 

Klik DI SINI untuk view full album. 

1 comment:

  1. Assalm....Menarik...Boleh dijadikan panduan untuk pelajar2 yg baru nk menyertai perkhemaham. Share gambar@ yeer...Tqsm

    ReplyDelete