Thursday, 17 September 2015

Membina Model Mitosis Menggunakan Benang

Lanjutan daripada aktiviti membina Model Sains Daripada Plastisin, kami menambahbaik aktiviti tersebut dengan membina model menggunakan benang.

Kelebihan membina model sains menggunakan benang:
       i) lebih mudah
       ii) lebih cepat
      iii) lebih murah
      iv) lebih selamat

Aktiviti ini dijalankan semasa pelaksanaan PLC - Lesson Study bagi mata pelajaran Sains Ting. 5, tajuk Pembahagian Sel (Mitosis).

Secara ringkasnya, aktiviti yang dijalankan adalah seperti berikut:

       1. Pelajar (25 orang) dibahagikan kepada 5 kumpulan
       2. Setiap kumpulan diberikan tajuk untuk 1 fasa dalam mitosis
       3. Setiap pelajar membina model fasa mitosis dengan menggunakan benang



       4. Ahli kumpulan membuat perbincangan tentang huraian bagi fasa mitosis
       5. Semua pelajar membentuk kumpulan baru dengan setiap ahli kumpulan mewakili setiap fasa dalam mitosis.
       6. Pelajar menyusun model fasa mitosis mengikut turutan.


       7. Setiap pelajar kemudiannya menerangkan tentang fasa mitosis kepada ahli kumpulan lain.



Antara hasil pelajar:







Wednesday, 16 September 2015

Koleksi Pantun & Teks Pengacara Majlis

Berikut merupakan koleksi teks pengacara majlis semasa saya menjadi MC di sekolah serta PPD.

Koleksi pantun majlis merupakan hasil rujukan daripada beberapa laman web dan ada yang telah diubahsuai mengikut kesesuaian majlis.

Disertakan juga teks ucapan Ketua Pelajar sempena Sambutan Kemerdekaan tahun 2015.



Muat turun: 

Teks MC Kejohanan Merentas Desa MSSD 

Teks MC Sambutan Merdeka 2015 

Teks MC Program Minda Merdeka 2017

Teks MC Sambutan Hari Guru 2017 

Teks MC Perasmian Kejohanan Sukan Sekolah 

Teks MC Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah 

Teks MC Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik ( versi 1)

Teks MC Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik ( versi 2)

Teks MC Seminar PLC peringkat PPD Sibu 2014 

Teks Ucapan Ketua Pelajar Sambutan Merdeka 2015 

Koleksi Pantun Majlis 


Sumber rujukan koleksi pantun: 

http://cikgushamsudin.blogspot.my/2012/09/pantun-majlis.html
http://kenangansilam-ita.blogspot.my/2011/01/contoh-pantun-perasmianpenutupan-dan.html
https://panitiabmsmkcj.wordpress.com/koleksi-pantun-melayu/

Penanda Buku SE dan SKL

Siri Elektrokimia (SE) dan Siri Kereaktifan Logam (SKL) merupakan dua siri susunan logam dan ion logam yang sangat penting dalam mata pelajaran Kimia.
SE mula digunakan semasa Bab 6 Kimia Ting. 4 (Elektrokimia), manakala SKL diperkenalkan semasa Bab 3 Kimia Ting. 5 (Redoks).
Bagi memudahkan pelajar merujuk dan menghafal kedudukan logam / ion dalam SE dan SKL, saya menghasilkan penanda buku SE dan SKL bagi memudahkan pelajar membawanya ke mana-mana, terutamanya setiap kali sesi PdP Kimia.


Saya memberikan pelajar penanda buku ini sejak mereka Ting. 4 untuk digunakan sehingga Ting. 5.
Walaupun SKL hanya digunakan semasa di Ting. 5, tetapi saya memberikan pendedahan awal kepada Ting. 4. Ini kerana proses penentuan formula empirik oksida logam berkaitan dengan kereaktifan logam berbanding dengan hidrogen dalam SKL.   

Huraian tentang SE dan SKL serta tanda-tanda yang terdapat dalam penanda buku ini boleh dirujuk di sini:

Langkah penghasilan penanda buku SE & SKL:

1.       Cetak Siri Elektrokimia1 & Siri Elektrokimia 2 secara depan & belakang (2-sided page)



2.       Cetak Siri Kereaktifan Logam


3.       Laminate


4.       Gunting kepada 4 bahagian



Jadi, setiap pelajar akan dapat 2 penanda buku: 1 penanda buku SE (2 bahagian), dan 1 lagi penanda buku SKL



Semua softcopy adalah dalam bentuk PDF bagi memastikan format tulisan & bentuk (shape) kekal semasa proses muatnaik. Jika mahu edit, boleh tukar kepada Microsoft Word DI SINI. 

Siri Kereaktifan Logam (SKL) & Aplikasinya

Dalam Siri Kereaktifan Logam (SKL), logam-logam disusun mengikut kereaktifan tindak balasnya terhadap  oksigen bagi membentuk oksida logam.
Susunan logam dalam SKL adalah sama seperti dalam Siri Elektrokimia, cuma bezanya SKL mengandungi karbon, C dan hidrogen, H (ditanda dengan warna kuning). 


Fungsi karbon dalam SKL adalah bagi menentukan proses pengekstrakan logam.
Fungsi hidrogen dalam SKL adalah bagi menentukan kaedah penentuan formula empirik bagi oksida logam.
Kereaktifan logam berkurang apabila menuruni SKL.
Semakin tinggi kedudukan logam dalam SKL, semakin reaktif tindak balas logam tersebut terhadap oksigen.

Logam
Tindak balas dengan oksigen
Kereaktifan logam
K, Na, Ca, Mg
Terbakar dengan cergas, nyalaan sangat terang
Sangat reaktif
Al, Zn, Fe, Sn, Pb, Cu
Menghasilkan nyalaan  
Reaktif
Hg, Ag, Au
Berbara
kurang reaktif

Logam yang lebih reaktif dapat menyingkirkan oksigen daripada oksida logam yang kurang reaktif daripadanya.
Jadi, logam yang lebih reaktif menerima oksigen dan mengalami pengoksidaan bagi membentuk oksida logam.
Manakala, oksida logam yang kurang reaktif akan kehilangan oksigen dan mengalami penurunan.

Aplikasi Siri Kereaktifan Logam

1.    Penentuan formula empirik oksida logam

 Formula empirik oksida logam ditentukan melalui 2 kaedah:
(i)      Kaedah 1: pemanasan logam menggunakan mengkuk pijar bagi membentuk oksida logam
-          Bagi logam-logam yang lebih reaktif daripada hidrogen dalam SKL
-          Contoh: MgO, Al2O3, ZnO

(ii)    Kaedah 2: penurunan oksida logam menggunakan gas hidrogen kering
-          Bagi logam-logam yang kurang reaktif daripada hidrogen dalam SKL
-          Contoh: CuO, FeO, PbO  

2.    Penentuan kaedah pengekstrakan logam

(i)      Logam-logam yang lebih reaktif daripada karbon dalam SKL (K, Na, Ca, Mg, Al) diekstrak menggunakan kaedah elektrolisis bijih lebur (elektrolisis leburan) menggunakan elektrod karbon

(ii)    Logam-logam yang kurang reaktif daripada karbon dalam SKL ( Zn, Fe, Sn, Fe, Pb) diekstrak daripada bijihnya, iaitu oksida logam menggunakan karbon.
Oksida logam dipanaskan bersama karbon dalam relau bagas.
Karbon yang lebih reaktif akan menurunkan oksigen daripada oksida logam.

(iii)   Logam-logam yang sangat kurang reaktif (Cu, Hg) diekstrak dengan cara memanaskan sulfida logam dalam udara

(iv)  Ag dan Au paling kurang reaktif dan wujud sebagai logam bebas dalam kerak bumi. 

# DOWNLOAD Penanda Buku Siri Kereaktifan Logam
 DI SINI 

** Download nota ini DI SINI 

Siri Elektrokimia (SE) & Aplikasinya

Siri Elektrokimia merupakan susunan logam mengikut keelektropositifannya, iaitu kecenderungan sesuatu logam untuk melepaskan elektron bagi membentuk ion positif.
Logam yang lebih elektropositif berada di kedudukan lebih tinggi dalam SE.
Keelektropositifan logam berkurang apabila menuruni SE.

                [ elektro positif => lepaskan elektron, ion positif ]

Pelajar-pelajar pertama kali didedahkan dengan SE semasa Bab 6 Kimia Ting. 4: Elektrokimia, tajuk ‘Elektrolisis Larutan Akueus’. Seterusnya, SE digunakan semasa pembelajaran Bab 3 Kimia Ting. 5: Redoks bagi tindak balas berikut:
i)        Tindak balas penyesaran logam
ii)       Tindak balas penyesaran halogen
iii)     Tindak balas kakisan logam


Elektrolisis Larutan Akueus

Dalam proses elektrolisis larutan akueus, terdapat 3 faktor yang diambil kira dalam pemilihan ion untuk dinyahcas, iaitu:

1.       Kedudukan ion dalam SE (kes larutan cair & elektrod lengai)

SE digunakan bagi menentukan kation dan anion yang dipilih untuk dinyahcas semasa elektrolisis.


Kation dan anion yang berada di kedudukan lebih rendah dalam SE lebih cenderung dipilih untuk dinyahcas. Larutan akueus mengandungi ion hidrogen, H+ dan ion hidroksida, OH- (ditanda dengan warna kuning). 
Ion H+ merupakan ion yang ketiga paling bawah bagi susunan kation dalam SE, manakala ion OH- merupakan ion yang paling bawah bagi susunan anion.
Jadi, bagi SEMUA kes elektrolisis larutan akueus cair yang menggunakan elektrod lengai (karbon / grafit / platinum), ion H+ dan ion OH- akan dipilih untuk dinyahcas KECUALI jika melibatkan ion kuprum (II), Cu2+ dan ion argentum, Ag+.
(oleh itu, pelajar tidak perlu hafal SE, hanya perlu ingat ion Cu2+ dan ion Ag+ sahaja)

Persamaan setengah bagi ion H+ dan ion OH-:
Anod     :               2H+ + 2e à H2
Katod    :               4OH-  à 2H2O + O2 + 4e

2.       Kepekatan elektrolit (kes larutan pekat)

Jika elektrolisis dijalankan dengan menggunakan larutan pekat dan elektrod lengai, ion-ion yang terdapat dalam larutan tersebut akan dipilih untuk dinyahcas, KECUALI ion-ion berikut (yang ditanda dengan warna kelabu):
i)        Ion kalium, K+
ii)       Ion natrium, Na+
iii)     Ion florida, F-
iv)     Ion sulfat, SO42-
v)      Ion nitrat, NO3-

Bagi ion-ion tersebut, kedudukan yang tinggi dalam SE menjadi faktor pemilihan ion H+ dan ion OH- untuk dinyahcas kerana ion H+ dan ion OH- berada jauh lebih rendah dalam SE.

Contoh:

Elektrolit
Pemilihan ion untuk dinyahcas
Anod
Penerangan
Katod
Penerangan
Larutan plumbum (II) nitrat, PbNO2.0 moldm-3
OH-
Kedudukan yang jauh lebih rendah dalam SE
Pb2+
Kepekatan ion Pb2+ lebih tinggi daripada ion H+
Larutan kalium iodida 2.0 moldm-3
I-
Kepekatan ion I- yang tinggi dalam elektrolit
H+
Kedudukan yang jauh lebih rendah dalam SE


3.       Jenis elektrod (elektrod logam)

Elektrolisis yang menggunakan logam sebagai elektrod (elektrod tak lengai), elektrod logam tersebut akan bertindak balas.
Dalam kes ini, SE tidak digunakan bagi menentukan pemilihan ion untuk dinyahcas kerana ion logam yang terdapat dalam elektrolit itu sendiri akan dinyahcas.

Contoh: Elektrolisis larutan kuprum (II) sulfat, CuSO4, 0.1 moldm-3 menggunakan elektrod kuprum.
Persamaan setengah di:
                    Anod     :   Cu à Cu2+ +  2e
                    Katod    :   Cu2+ +  2e  à Cu

[ Anode ALWAYS RELEASE electron, Cathode ALWAYS RECEIVE electron ]


Tindak Balas Penyesaran Logam

Tindak balas ini melibatkan penyesaran logam daripada larutan garamnya oleh logam yang lebih elektropositif daripadanya, iaitu logam yang berada di kedudukan lebih tinggi dalam SE.
Jadi, logam yang berada di kedudukan atas dalam SE dapat menyesarkan logam yang berada di bawahnya, dan sebaliknya.


Contoh:

Larutan garam
Logam
Pemerhatian
Inferens
Huraian
Kuprum (II) sulfat, CuSO4
Magnesium, Mg
-Kepingan Mg menipis
-Mendakan perang terbentuk  
-Larutan biru menjadi tidak berwarna
-Mendakan perang adalah kuprum
-Larutan tidak berwarna yang terbentuk ialah larutan magnesium sulfat
-Mg lebih elektropositif daripada Cu @ kedudukan Mg lebih tinggi daripada Cu dalam SE
-Mg menyesarkan Cu daripada larutan CuSO4

Zink nitrat, ZnNO3
Kuprum, Cu
Tiada perubahan
Tiada tindak balas berlaku
-Cu kurang elektropositif daripada Zn @ kedudukan Cu lebih rendah daripada Zn dalam SE
-Cu tidak dapat menyesarkan Zn daripada larutan ZnNO3



Tindak Balas Penyesaran Halogen  

Berlawanan dengan logam, semakin tinggi kedudukan halogen dalam SE, halogen tersebut semakin elektronegatif.
Keelektronegatifan bermaksud kecenderungan untuk menerima elektron bagi membentuk ion bercas negatif (anion).

                [ elektro negatif => terima elektron, ion negatif ]

Jadi, halogen yang berada di kedudukan lebih tinggi dalam SE adalah lebih elektronegatif dan dapat menyesarkan ion halida yang berada di bawahnya.


Contoh:

Larutan halida
Halogen
Pemerhatian
Huraian
Kalium iodida, KI
Klorin, Cl2
-Larutan berwarna kuning menjadi perang
-Klorin lebih elektronegatif daripada iodin
-Klorin menyesarkan iodin daripada larutan kalium iodida.
-Ion iodida melepaskan elektron dan mengalami pengoksidaan.
-Molekul klorin menerima elektron dan mengalami penurunan.

Kalium klorida, KCl
Bromin, Br2
Tiada perubahan
-Bromin kurang elektronegatif daripada klorin.  
-Bromin tidak dapat menyesarkan klorin daripada larutan kalium klorida.



Kakisan Logam / Pengaratan Besi

Kakisan logam merupakan suatu tindak balas redoks di mana logam akan mengalami pengoksidaan dengan melepaskan elektron bagi membentuk ion logam.
Jika terdapat dua logam bersentuhan, maka logam yang lebih elektropositif (kedudukan lebih tinggi dalam SE) yang akan mengalami pengoksidaan.
Proses pengoksidaan akan menyebabkan logam terkakis.
Proses kakisan logam yang dibincangkan dalam Bab 3 Kimia Ting. 5 adalah proses pengaratan besi.
Pengaratan besi dapat dihalang dengan melindungi besi menggunakan logam yang lebih elektropositif daripadanya, iaitu logam yang berada di kedudukan lebih tinggi daripada Ferum, Fe dalam SE (ditanda dengan warna kuning): 


Jika besi bersentuhan dengan logam yang kurang elektropositif daripadanya, maka besi akan mengalami pengoksidaan dan berkarat.
Proses pengaratan akan menjadi lebih cepat apabila jarak antara dua logam dalam SE lebih jauh.
Selain SE, pengaratan besi / pengoksidaan logam boleh juga ditentukan dengan merujuk kedudukan logam dalam Siri Kereaktifan Logam (SKL).

Catatan:
-          Proses pengaratan berlaku dengan kehadiran oksigen dan air yang bertindak sebagai elektrolit.
-          Pengaratan besi menjadi lebih cepat dengan kehadiran asid / garam kerana apabila ia larut dalam air, larutan yang terbentuk menjadi elektrolit yang lebih baik.
-          Oleh sebab itu, bahan-bahan yang diperbuat daripada besi yang terdapat di tepi pantai (udara masin) atau di kawasan perindustrian (gas berasid) lebih cepat berkarat. 

# DOWNLOAD Penanda Buku Siri Elektrokimia DI SINI 

**Download nota ini DI SINI 

Sunday, 13 September 2015

Definisi Bahagia

Bahagia itu rezeki.
Bahagia itu suatu nikmat.
Bahagia itu harapan setiap insan.
Bahagia itu membawa sinar dalam kehidupan.

Semua orang mahu bahagia.
Semua orang punya definisi sendiri.
Dan semua orang punya cara masing-masing untuk mencapai kebahagiaan.

Ada manusia yang bahagia punya rumah yang besar & selesa
Ada yang bahagia dengan kereta mewah
Ada yang bahagia punya pasangan yang setia di sisi
Ada juga yang bahagia dengan gelak tawa cahaya mata
Ada yang bahagia melihat dan mengelilingi dunia

Bahagia bagi seorang guru…..
Tatkala mencurah ilmu
Melihat anak-anak murid menulis membaca
Mendengar jerit pekik dan hilai tawa
Menghitung garisan kerutan di kepala
Menahan tawa melihat mereka tersengguk di meja

Makanan ruji guru….
Disukai dan dibenci
Mengawal anak-anak yang menendang kerusi dan meja
Melayan setiap pertanyaan yang berjela-jela
Menahan marah dalam dada tatkala kesabaran dicabar
Menahan sebak melihat kertas jawapan ujian kosong tidak bertulis & bertanda

Biar perit
Biar sakit
Baik susah mahupun senang
Guru tetap bahagia
Kerana guru percaya
Dalam kenakalan mereka
Mungkin kelak akan ada yang menarik tangan guru ke pintu syurga

Dan ku bahagia bersama mereka
Meminjamkan masa yang ada
Mengorbankan hujung minggu yang berharga
Biar jauh jarak yang perlu ditempuhi
Biarpun ruang kelas tidak dipenuhi
Ku bahagia melihat usaha gigih mereka
Dan ku bahagia melihat senyuman di wajah mereka……




# 12 Sept. 2015
# Kelas tambahan Kimia
# Pecutan SPM 2015 


 ~ Bahagia Itu Membahagiakan ~

Saturday, 12 September 2015

e-GTukar oh e-GTukar……..

Bulan September tiba lagi. Bulan yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan guru terutamanya bagi yang berbakti di seberang Laut China Selatan. Tiga bulan berlalu selepas kekecewaan pada Jun lalu, harapan guru kembali mekar dengan tibanya September. Walaupun permohonan untuk bertukar ke Semenanjung belum tentu lagi berjaya, namun apa yang penting usaha tanpa jemu diiringi doa yang tidak putus-putus serta tawakal sepenuhnya pada Yang Maha Kuasa menentukan rezeki setiap manusia.


Jika mahu dibicarakan tentang EGTukar ni, perbincangannya entah bila akan habis. Terlalu banyak cerita dan pengalaman yang telah dilalui & didengar daripada mereka yang senasib. Namun isu yang sering dibangkitkan tentulah berkaitan dengan alasan yang dipertimbangkan untuk pertukaran.

Tiga alasan utama yang disenaraikan dalam laman e-GTukar:
1.       Mengikut suami / isteri
2.       Ancaman keselamatan
3.       Sakit kronik

Alasan pertama merupakan alasan yang sering dikemukakan oleh mereka yang memohon pertukaran.  Ramai yang telah berjaya dengan menggunakan alasan ini, tidak kurang juga yang masih kecewa.
Ada rakan guru yang dapat pindah tidak lama selepas berumahtangga, namun ada juga yang masih gagal walaupun anak sudah masuk dua. Begitu juga dengan alasan yang kedua dan ketiga. Ada guru-guru yang berjaya dengan menggunakan alasan tersebut siap dengan surat sokongan doktor / majikan mahupun laporan polis. Tetapi, ada juga yang masih tidak berjaya.

Kadang-kadang bila diperhatikan, guru-guru yang belum betul-betul emergency dapat bertukar, manakala yang sudah hampir ‘sakit jiwa’ tidak dapat pula. Jadi persoalannya, mengapa berlaku situasi seperti ini? Bagaimanakah alasan yang sebenarnya betul-betul dipertimbangkan oleh pihak atasan?
Jika disebabkan tiada kekosongan opsyen di PPD yang dimohon, bukankah sudah dipersetujui bahawa guru yang memohon sanggup ditempatkan di PPD lain. Bertambah hairan apabila ada guru baharu dapat ‘posting’ di Semenanjung, sedangkan guru-guru yang sudah berbelas-belas tahun berkhidmat di Sarawak tidak dapat dipindahkan.


Sistem ‘traffic light’ yang mula digunakan di laman e-GTukar lebih banyak mempamerkan warna merah berbanding hijau. Melihat pada opsyen Sains Tulen memang tiada harapan nak ‘jalan’ lah nampak gayanya. Semua negeri sudah diisi penuh keperluannya. Tetapi, betul ke? 


Sistem ‘traffic light’ menampakkan seolah-olah kebanyakan negeri sudah cukup guru, terutama negeri ‘K’ yang begitu sukar ditembusi temboknya. Ini membuatkan saya terfikir, adakah guru di negara ini memang majoritinya orang ‘K’, sebab setiap tahun yang mohon masuk negeri ‘K’ paling ramai bilangannya. Tak dapat-dapat masuk pula tu sebab asyik penuh saja walaupun saya lihat banyak juga sekolah yang baru dibina di sana. Jika benar keperluan guru di kebanyakan negeri sudah dipenuhi, apa pula akan jadi pada calon-calon graduan pendidikan yang tamat pengajian saban tahun?

Tidak dinafikan tanggungjawab guru adalah untuk mendidik anak bangsa walau di mana sahaja berada. Guru sentiasa sedar amanah yang dipikul harus dilaksanakan sebaik mungkin. Kecewa walau macam mana sekalipun, amanah tetap harus dilunaskan dengan ikhlas dan sabar. Namun, guru juga manusia biasa yang punya rasa untuk pulang ke pangkuan keluarga setelah sekian lama merantau. Salahkah jika mahu berada berdekatan dengan ibu bapa yang semakin hampir ke penghujung usia? Usah diminta mereka dibawa ke tempat kita berkhidmat sekarang kerana kita sudah sedia maklum jawapan yang bakal diterima. Tetapi bila digunakan alasan seperti ini, kita pula yang disuruh berhenti kerja kerana ramai yang sedang menunggu giliran untuk mengisi jawatan guru.

Satu persoalan yang sering bermain di fikiran saya berkaitan alasan pertukaran adalah jika alasan mengikut suami boleh dipertimbangkan, kenapa pula alasan untuk menjaga ibu / bapa yang sudah uzur tidak disenaraikan? Mereka yang berumahtangga dapat bertukar ke Semenanjung selepas beberapa tahun, tetapi jika ada yang ditakdirkan tidak bertemu jodoh dan sudah berada di Sarawak selama lebih 10 tahun tidak dipertimbangkan pertukarannya. Adilkah begitu? Alasan mengikut suami disenaraikan kerana suami adalah syurga bagi isteri. Bukankah ibu adalah syurga bagi seorang anak?


Walau apapun, hanya DIA yang Maha Mengetahui dan menentukan rezeki setiap hamba-Nya……

p/s: artikel ini hanyalah pandangan peribadi penulis, berdasarkan pengalaman peribadi & pengalaman rakan2 sejawatan.