Sunday, 2 August 2015

Aplikasi Tekanan Udara Dalam Kehidupan Seharian

Konsep tekanan udara dapat memudahkan urusan seharian. Antara aplikasi tekanan udara dalam kehidupan seharian kita adalah: 



1. Picagari


Kegunaan:
Untuk memindahkan cecair dalam kuantiti yang sedikit. Contohnya, ubat cecair.

Prinsip:
Apabila omboh ditarik ke atas, isipadu udara dalam silinder bertambah. Ini merendahkan tekanan udara dalam silinder. Tekanan udara yang lebih tinggi di luar akan menolak cecair untuk masuk ke dalam picagari.


2. Sifon


Kegunaan:
Memindahkan cecair dari kawasan tinggi ke kawasan rendah.

Prinsip:
Salah satu hujung tiub sifon dimasukkan ke dalam cecair di mana kedua-dua hujungnya ditutup dan hujung yang satu lagi diletakkan lebih rendah. Apabila kedua-dua hujungnya dibuka, tekanan udara akan menolak air masuk ke dalam sifon dan mengalir ke hujung tiub satu lagi.


3. Penyembur racun serangga / pam penyembur


Kegunaan:
Untuk membebaskan racun serangga / cecair dalam bentuk titisan cecair

Prinsip:
Apabila omboh ditolak ke arah dalam silinder, udara yang terdapat dalam silinder keluar melalui muncung dengan halaju tinggi dan mewujudkan kawasan bertekanan rendah di bahagian atas tiub. Udara dari luar yang masuk melalui lubang mengenakan tekanan ke atas racun serangga dan menolaknya keluar melalui tiub. Cecair yang keluar dipecahkan kepada titisan-titisan kecil oleh udara yang keluar dengan laju daripada silinder.

Contoh aplikasi: Botol febreeze


4. Penyedut minuman


Kegunaan:
Untuk meminum air

Prinsip:
Apabila udara dalam penyedut minuman disedut keluar, tekanan rendah terbentuk dalam penyedut minuman. Tekanan udara yang tinggi di luar menolak air daripada gelas masuk ke dalam penyedut minuman.


5. Penitis

Kegunaan:
Mengambil cecair / bahan kimia daripada botol reagen / radas makmal

Prinsip:
Apabila pemegang getah penitis dipicit, udara dari dalam penitis dikeluarkan mewujudkan tekanan udara yang rendah. Penitis kemudiannya dimasukkan ke dalam cecair dan pemegang getah dilepaskan. Tekanan udara yang lebih tinggi di luar menolak masuk cecair ke dalam penitis.

Catatan:
*antara kesilapan yang sering dilakukan oleh pelajar semasa menggunakan penitis adalah memasukkan penitis ke dalam cecair terlebih dahulu sebelum pemegang getah dipicit.
*cara yang betul adalah picit pemegang terlebih dahulu, masukkan penitis dalam cecair, baru pemegang getah dilepaskan.
*ini bagi mengelakkan udara dari dalam penitis masuk ke dalam cecair dan kemudian masuk semula ke dalam penitis (gelembung gas)

Contoh lain: demo no. 8


6. Pelekap getah

Kegunaan:
Digunakan untuk menyangkut barang-barang harian

Prinsip:
Apabila pelekap getah ditekan ke atas permukaan dinding, udara yang berada di bawah pelekap getah dikeluarkan. Tekanan rendah terbentuk. Tekanan udara sekeliling yang lebih tinggi menekan pelekap getah di dinding dan mengelakkannya daripada jatuh.

Contoh lain: Tikar atmosfera (atmospheric mat) – demo no. 12


7. Pam sedut


Kegunaan:
Untuk mengeluarkan kotoran yang tersumbat dalam sinki / paip 

Prinsip:
Apabila cawan getah ditolak ke bawah, udara dari dalam cawan getah ditolak keluar. Apabila cawan getah diangkat semula, isipadu udara bertambah dan merendahkan tekanan udara. Tekanan udara yang lebih tinggi dalam paip menolak kotoran keluar ke atas.


8. Pembersih vakum

Kegunaan:
Menyedut debu / kotoran

Prinsip:
Apabila suis pembersih vakum dihidupkan, udara yang terdapat dalam pembersih vakum disedut menghasilkan suatu keadaan vakum dan mewujudkan tekanan udara yang rendah di dalam. Udara yang bertekanan lebih tinggi di luar menolak masuk debu dan kotoran ke dalam pembersih vakum.


9. Susu pekat


Kegunaan:
Untuk menuang susu pekat daripada tin dengan mudah.

Prinsip:
Tin susu pekat perlu dibuat dua lubang di bahagian atas. Apabila susu pekat dituang daripada tin, udara dari luar akan masuk ke dalam tin melalui lubang yang berada di atas. Tekanan udara dari luar akan menolak keluar susu pekat daripada tin dengan lebih mudah.

Contoh lain:
-Jika minum air daripada botol air minuman, pastikan permukaan botol air tidak ditutup sepenuhnya. Jika tidak, udara dari luar tidak dapat masuk untuk membantu menolak air masuk ke dalam mulut.
-Begitu juga apabila minum kopi / teh daripada bekas minuman yang mempunyai penutup seperti ini:

sumber: http://blog.teachersource.com/2014/02/01/examples-of-air-pressure-in-everyday-life/

Lubang udara kecil di bahagian atas berfungsi untuk membenarkan udara masuk dan menolak air keluar melalui bukaan bawah. Pastikan lubang udara itu tidak tertutup oleh hidung anda! (bunyi macam agak kelakar, tapi ini fakta).


10. Tin / botol minuman berkarbonat

Kegunaan:
Membebaskan gas termampat sebelum air diminum

Prinsip:
Tin / botol minuman berkarbonat mempunyai gas termampat bertekanan tinggi yang akan terbebas apabila tin / botol dibuka. Penutup tin / botol sedikit terlebih dahulu bagi membebaskan gas tersebut sebelum ia dibuka sepenuhnya. Jika penutup tin / botol dibuka dengan terlalu pantas, ia akan menyebabkan air berkarbonat tadi terpancut keluar dengan laju dan tumpah.


11. Tin aerosol


Kegunaan:
Untuk menyimpan gas di bawah tekanan tinggi.

Prinsip:
Tin aerosol merupakan salah satu alat yang menggunakan prinsip pemampatan gas di bawah tekanan tinggi. Apabila gas dimampatkan, gas akan disimpan dalam bentuk cecair. Injap dan spring menghalang cecair daripada keluar jika tidak digunakan. Tin aerosol mempunyai gas termampat yang akan menolak cecair keluar melalui tiub. Apabila butang ditekan, injap masuk ke dalam tin bagi memberi ruang kepada cecair untuk keluar. Gas termampat yang bertekanan tinggi menolak cecair keluar daripada tin ke atas. Sebaik sahaja cecair tadi dilepaskan, ia akan terbebas sebagai gas.  

Contoh lain:
-tin cat spray

-botol minyak wangi / deodoran 


Rujukan gambar: 
Teacher's manual, science form 2, pan asia

17 comments:

  1. Asssalamualaikum ...Saya minta izin guna nota untuk mengajar ....harap dibolehkan

    ReplyDelete
    Replies
    1. w'salam. ya,silakan...terima kasih.

      Delete
  2. Asalamualaikum cikgu.. saya nk tanya.. kenapa bila botol tertutup, air tak boleh keluar.. mana kala apabila penutup botol terbuka. Air boleh keluar? Harap cikgu boleh tolong saya :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. w'salam. bila botol tertutup, tekanan udara di dalam dan di luar seimbang. bila botol dibuka, tekanan udara tinggi di prmukaan air dlm botol menolak air keluar

      Delete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  4. assalamualaikum cikgu,saya nak tanya,macam mana ye tekanan udara di dalam pam angin di stesen minyak?macam mana pam angin berfungsi,apakah had meter pam angin.Saya harap cikgu boleh tolong saya,terima kasih :)

    ReplyDelete
  5. bagaimana pen dikatakan menggunakan prinsip tekanan udara?

    ReplyDelete
  6. assalamualaikum cikgu... Sy nk tanya, kalau omboh picagari tu ditolak ke bawah, apa yang akan jadi?

    ReplyDelete
  7. bagaimana pen menggunakan prinsip tekanan udara

    ReplyDelete
  8. cikgu... bagaimana prinsip periuk tekanan? dan bagaimana prisip pen? harap cikgu boleh bantu saya dengan segera

    ReplyDelete
    Replies
    1. Periuk tekanan: tekanan tinggi, suhu tinggi, kadar tindak balas tinggi, makanan masak lebih cepat.
      Pen: tekanan udara tolak dakwat pen keluar. Sbb tu ada udara dlm batang dakwat pen. Pen dlm keadaan tegak, graviti bntu tarik dakwat ke bawah.

      Delete
    2. Terima kasih cikgu

      Delete
  9. Maknanya tekanan udara di dalam pen rendah dan tekanan udara di luar tinggi?

    ReplyDelete
  10. ckg bagaimana pam baskal menggunakan prinsip tekanan udara

    ReplyDelete
  11. cikgu bagainamakah pembersih vakum dan pam basikal menggunakan prinsip tekanan udara??????

    ReplyDelete