Sunday 30 August 2015

Membina Model Sains Menggunakan Plastisin

Idea ini pada asalnya diambil dari group facebook Cikgu Sains Kreatif.
Bagi mengaplikasikan PdP berpusatkan pelajar & mendorong kreativiti dalam kalangan pelajar, mereka diminta untuk membina model biologi dengan menggunakan plastisin.
Secara tidak langsung aktiviti ini dapat meningkatkan kefahaman dan ingatan pelajar terhadap struktur-struktur sel dalam m/p biologi.
Bagi saya, aktiviti ini boleh juga dijalankan untuk m/p lain dalam bidang Sains sama ada pelajar menengah bawah mahupun menengah atas.
Aktiviti dijalankan secara individu dalam kalangan pelajar Ting. 5 Sains.
Markah diambil dan model terbaik diberikan hadiah.
Semua model dipamerkan semasa Karnival Sains & Teknologi 2015.

Model Sel Haiwan:








Model Sel Tumbuhan: 





Model Meiosis & Mitosis: 













Model lain: 




p/s: Saya bukan cikgu biologi. Credit goes to Cikgu Yii Hea Lang.

Monday 24 August 2015

Penangguhan Peperiksaan Amali Sains Berpusat SPM 2016

Baru-baru ini kita mendapat berita tentang penangguhan Peperiksaan Amali Sains Berpusat SPM yang bakal dimulakan pada tahun 2016. Faktor penangguhan tersebut adalah disebabkan kebanyakan makmal sekolah belum mempunyai kemudahan yang mencukupi, terutamanya bagi sekolah-sekolah yang terlibat dalam bencana banjir hujung tahun lepas.



Sudah tentu berita ini mendapat respon yang pelbagai daripada guru-guru di seluruh negara. Mungkin ada pihak yang setuju dan mungkin ada juga yang tidak bersetuju. Secara peribadi saya merasakan ia merupakan sesuatu yang wajar dilakukan. Sukar untuk kita jalankan peperiksaan amali sains secara berpusat jika kebanyakan sekolah masih kritikal dengan kelengkapan bahan dan radas di makmal sains.

Bagi sekolah-sekolah di bandar, sekolah-sekolah yang baru dibina, sekolah-sekolah yang mempunyai penghuni yang ramai, sudah tentu mereka mempunyai prasarana makmal yang lengkap serta peruntukan yang mencukupi. Ini berbeza dengan sekolah-sekolah kecil di luar bandar yang terpaksa mencatu peruntukan yang sedikit demi menyediakan keperluan di makmal sains.

Siapa yang dapat menafikan kepentingan pelaksanaan kerja amali dalam PdP mata pelajaran Sains, sama ada Sains Teras (men. rendah & men. atas) mahupun Sains Tulen. Semua guru, jika boleh, mahu melaksanakan kerja amali. Jika diberikan pilihan, semua eksperimen dalam buku teks mahu dijalankan. Akan tetapi, disebabkan faktor-faktor tertentu perancangan itu terpaksa dilupakan. Sebagai guru, kita memikirkan pelbagai alternatif lain demi memastikan semua objektif pembelajaran tercapai. Ada eksperimen yang didemonstrasi oleh guru sahaja. Ada juga eksperimen yang ditayangkan video yang dimuat turun dari internet. Semuanya disebabkan bahan dan radas yang terhad, perlu digunakan dengan jimat cermat untuk eksperimen-eksperimen yang betul-betul penting sahaja.

Jika peperiksaan amali sains berpusat diadakan, terlalu banyak keperluan yang harus disediakan supaya mencukupi untuk setiap pelajar. Sudah tentulah ini menjadi bebanan kepada pihak sekolah, terutamanya dari segi kos. Pertama kali melihat senarai bahan dan radas yang perlu disediakan semasa mengikuti Kursus Amali Sains untuk guru-guru, saya juga rasa seperti mahu pitam. Kos untuk bahan dan radas makmal adalah tinggi, lebih-lebih lagi apabila dibeli melalui peruntukan PCG. Bukan sahaja radas dan bahan yang perlu disediakan oleh pihak sekolah, malah banyak lagi persediaan lain yang harus dilakukan. Perkara-perkara lain yang turut diambil kira & dipantau pernah saya kongsikan melalui artikel saya sebelum ini: Peperiksaan Berpusat Amali Sains SPM 2016: Sudah Bersediakah Kita?

Pada peringkat awal, peperiksaan amali sains berpusat ini dirancang untuk dimulakan pada tahun ini. Guru-guru disarankan untuk melatih pelajar bagi menghadapi peperiksaan ini. Kemudian perancangan tersebut ditangguhkan ke tahun hadapan. Maka, calon SPM pada tahun ini dilatih semula untuk menjawab soalan Kertas 3 bertulis. Perkara yang sama terjadi kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 pada tahun ini. Perubahan ini sekali lagi menyebabkan guru-guru perlu mengubah semula rancangan pengajaran bagi Kertas 3. Bukanlah guru mahu merungut. Sebagai guru, kita telah dilatih untuk sentiasa bersedia dengan sebarang perubahan dalam bidang pendidikan. Namun, kesediaan pelajar tidak boleh disamakan dengan kesediaan guru.


Perubahan ke arah peningkatan merupakan sesuatu yang bagus. Akan tetapi, format peperiksaan yang kerap berubah menampakkan perancangan yang tidak cukup teliti daripada pihak kementerian. Keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa sebelum mengambil kira keadaan makmal di semua sekolah akhirnya menyebabkan keputusan tersebut ditarik semula buat sementara waktu. Saya merasakan, pemantauan oleh panel penilai sepatutnya dilakukan sebelum sesuatu keputusan diambil dan bukan sebaliknya. Amatlah diharapkan selepas ini bantuan sewajarnya dihulurkan oleh pihak berwajib kepada sekolah-sekolah yang serba kekurangan agar semua pelajar mendapat peluang yang sama rata untuk merasai pengalaman menjalankan kerja amali semaksimum mungkin. Sesungguhnya proses belajar itu jauh lebih penting dan bermakna berbanding amali peperiksaan. 


Sunday 23 August 2015

Perbezaan Antara Projek Inovasi, Kajian Tindakan dan Penyelidikan

Selaku guru, pasti kita berdepan dengan banyak cabaran semasa menjalankan pengajaran & pembelajaran (PdP) dalam bilik darjah. Antara cabaran yang sering dihadapi adalah tahap kefahaman pelajar yang berbeza dan kesukaran pelajar untuk memahami pengajaran guru terutamanya apabila melibatkan sesuatu konsep yang abstrak.


Antara langkah penyelesaiannya adalah dengan cara menjalankan kajian tindakan, projek inovasi ataupun penyelidikan. Ketiga-tiganya mempunyai tujuan utama yang sama, iaitu mengkaji sesuatu isu atau masalah yang dihadapi dalam bilik darjah, sekolah mahupun dalam bidang pendidikan secara amnya. Namun, ketiga-tiganya merupakan perkara yang berbeza.

Saya bukanlah pakar dalam membincangkan definisi bagi setiap satu darinya. Perkongsian ini hanya merupakan hasil pemahaman dan pengamatan saya. Selain itu, ketiga-tiganya juga merangkumi bidang yang cukup luas, sama ada bagi tujuan akademik mahupun bukan akademik. Saya cuma akan memfokuskan kepada kajian berkaitan PdP sahaja.


Projek Inovasi

Secara amnya, projek inovasi biasanya berbentuk alat bantu mengajar (ABM), juga disebut bahan bantu mengajar (BBM) yang digunakan untuk memudahkan PdP guru dan meningkatkan kefahaman pelajar dalam sesuatu konsep. Mungkin ada guru yang melaksanakan projek inovasi berbentuk pedagogi, namun ianya lebih sesuai dilaksanakan sebagai kajian tindakan. Inovasi yang dihasilkan tidak semestinya merupakan sesuatu yang baru. Boleh juga dihasilkan daripada inovasi guru lain, tetapi ditambahbaik dan disesuaikan dengan pelajar di sesebuah sekolah. Apa yang penting, jangan ditiru bulat-bulat.

Sebagai contoh, KAD MNEMION yang saya hasilkan merupakan sejenis kad imbas (flashcard) yang biasanya sering digunakan untuk kanak-kanak ataupun murid-murid di sekolah rendah. Sebagai penambahbaikan kepada flashcard yang biasa digunakan, saya hasilkan flashcard secara 2-dimensi (depan & belakang) dan boleh dipusingkan seperti kad menu di restoran. Saya gabungkan pula dengan mnemonik, maka terhasillah flashcard versi saya sendiri.


Berdasarkan pengalaman saya menyertai Pertandingan Guru Inovatif Negeri Sarawak baru-baru ini, sebuah projek inovasi yang baik dan ‘dipandang tinggi’ oleh panel penilai mempunyai ciri-ciri seperti berikut; antaranya ialah:
i)                    Dipunyai oleh setiap pelajar dalam kelas. (bermaksud satu set inovasi untuk setiap pelajar)
ii)                   Menggunakan bahan kitar semula
iii)                 Kos yang rendah

Apakah tajuk / topik yang sesuai untuk dijalankan projek inovasi? Persoalan ini merupakan suatu yang bersifat subjektif. Ini kerana tahap pelajar di setiap sekolah adalah berbeza. Kadang-kadang ada tajuk / konsep yang mudah difahami oleh pelajar di sesebuah sekolah, tetapi dianggap sukar oleh pelajar sekolah lain terutamanya sekolah luar bandar. Sebagai permulaan, cari tajuk yang sukar difahami oleh majoriti pelajar di sekolah kita. Kecilkan skop tajuk. Pilih konsep yang mudah untuk kita bina inovasi yang berbentuk maujud (fizikal).
Sebagai contoh:
i)                    Kimia Ting.5, Bab 2: Sebatian Karbon
Inovasi membina model sebatian karbon menggunakan plastisin bagi meningkatkan kemahiran pelajar melukis struktur & menulis formula kimia sebatian karbon.

ii)                   Biologi

Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap proses kesegahan sel menggunakan model belon. 

Dari segi format laporan projek inovasi, saya tidak pasti sama ada setiap negeri mempunyai format laporan yang tersendiri. Untuk kepastian bolehlah merujuk PPD / JPN masing-masing. Laporan yang saya tulis adalah berdasarkan format yang dikemukakan oleh JPN Sarawak. Ini merupakan laporan projek inovasi saya pada tahun 2014: KAD MNEMION.
Projek Inovasi ini baru sahaja saya bentangkan semasa di Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru peringkat Negeri Sarawak 2015 baru-baru ini. 


Kajian Tindakan (action research

Kajian tindakan dilaksanakan untuk mengkaji sesuatu isu / masalah dan seterusnya bertindak bagi menyelesaikan masalah tersebut. Bagi memastikan keberkesanan sesuatu kaedah penyelesaian yang diambil, kajian tindakan biasanya dijalankan melalui beberapa gelung / kitaran (cycle). Tetapi, jika kaedah yang digunakan betul-betul berkesan dan masalah telah dapat diselesaikan secara menyeluruh, maka satu gelung sudah mencukupi. Dapatan kajian pula sering digunakan kaedah ujian pra dan ujian pos. 


Terdapat banyak versi yang boleh dirujuk bagi melaksanakan kajian tindakan. Namun, secara umumnya sesebuah kajian tindakan melibatkan proses kerja berikut:

1.       Refleksi PdP – mengenal pasti isu/ masalah yang dihadapi
2.       Merancang penyelesaian
3.       Melaksanakan kaedah penyelesaian yang dipilih
4.       Menganalisis dapatan kajian & refleksi

Jika kaedah yang dipilih telah berjaya, maka kitaran kajian tindakan akan berhenti pada langkah ke-4. Jika belum berjaya sepenuhnya, kita kembali semula kepada langkah pertama dengan mengenal pasti kelemahan-kelemahan yang terdapat semasa gelung pertama. Dengan ini, kita akan memulakan gelung kedua kajian tindakan. 

Kaedah yang dipilih bagi menyelesaikan sesuatu isu PdP dalam sesebuah kajian tindakan adalah lebih meluas berbanding dengan projek inovasi. Masalah yang dihadapi dalam PdP boleh diselesaikan menggunakan BBM (inovasi) mahupun kaedah pedagogi. Misalnya, menggunakan flashcard, magic whiteboard, model dan sebagainya untuk membantu pelajar memahami sesuatu konsep. Selain daripada menggunkan BBM, guru juga boleh menjalankan tindakan menggunakan kaedah seperti mentor-mentee, gallery walk, pembelajaran inkuiri dan lain-lain.

Tajuk bagi sesebuah kajian tindakan mestilah jelas, spesifik dan terperinci merangkumi objektif kajian, kumpulan sasaran serta kaedah penyelesaian. Antara contoh tajuk kajian tindakan:

i)                    Pelaksanaan kaedah nota berlagu untuk meningkatkan kemahiran pelajar mengingati kronologi peristiwa bagi novel Komsas dalam kalangan pelajar Tingkatan 4 Merah di SMK Setia.
ii)                   Meningkatkan kefahaman pelajar terhadap konsep tekanan udara dengan menggunakan model “Belon Magik”.

Bagi guru yang pertama kali mahu menjalankan kajian tindakan memang akan terasa agak sukar kerana ianya melibatkan banyak proses yang teliti. Penulisan laporannya pula lebih terperinci berbanding projek inovasi. Saya mula mengenali kajian tindakan semasa melengkapkan folio Program Pembangunan Guru Baharu (PPGB). Saya merupakan batch pertama guru yang perlu melaksanakan PPGB pada tahun 2011. Memandangkan di sekolah saya tiada seorang pun guru yang pernah menjalankan kajian tindakan, maka agak terkial-kial juga saya pada masa itu. Rujukan saya hanya berpandukan pada enjin carian Google. Mujur saya menemui Manual Kajian Tindakan yang diterbitkan oleh Bahagian Perancangan & Pelaksanaan Dasar Pendidikan di laman sesawang KPM. 

Lanjutan daripada kajian tindakan yang saya jalankan semasa menyiapkan folio PPGB, saya teruskan dengan gelung kedua. Semasa gelung kedua ini saya mendapat ilham menggunakan kad imbas. Jadi, kajian tindakan yang saya jalankan pada masa itu merupakan projek 2-dalam-1 di mana saya menggunakan projek inovasi sebagai kaedah penyelesaian dalam kajian tindakan. Seterusnya, saya jalankan pula penambahbaikan pada projek inovasi tersebut sehingga terhasilnya Kad Mnemion. Laporannya kemudian saya asingkan.

Berikut merupakan hasil laporan kajian tindakan saya untuk gelung kedua:  Kajian Tindakan Kimia 2014.


Penyelidikan Guru (research

Daripada tiga perkara ini, penyelidikan boleh dianggap sebagai yang paling sukar untuk dilaksanakan, melibatkan proses yang sangat teliti, memakan masa yang lama dan penulisan laporan yang begitu terperinci. Dalam bahasa yang mudah, penyelidikan merupakan suatu kajian terhadap sesuatu isu / perkara untuk mendapatkan data yang sah. Penyelidikan tidak semestinya menghasilkan penyelesaian, namun ia melibatkan metodologi kajian yang agak kompleks. Disebabkan itulah, tidak ramai guru di sekolah yang menjalankan penyelidikan, kebanyakannya menjalankan kajian tindakan sahaja. Saya sendiri juga belum mahir dengan penyelidikan. Bagi guru yang memasang impian untuk menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, maka pelaksanaan penyelidikan guru merupakan persediaan yang sangat bagus.

Aspek yang dikaji dalam sesebuah penyelidikan adalah sangat meluas. Penyelidikan guru / penyelidikan pendidikan mengetengahkan aspek kajian berkaitan isu-isu semasa dalam bidang pendidikan, sama ada isu dalam bilik darjah, masalah yang dihadapi oleh guru / pelajar / pentadbir sekolah mahupun isu pendidikan secara umum. Paling bagus jika dibuat penyelidikan tentang isu-isu pendidikan yang terkini. Contohnya:
i)                    Pelaksanaan PPPM 2013 – 2015
ii)                   Pengintegrasian KBAT dalam PdP
iii)                 Keberkesanan peta i-think
iv)                 Konsep pembelajaran & bilik darjah abad ke-21
v)                  VLE-FROG

Boleh juga jika kita mahu melaksanakan penyelidikan dalam bidang pendidikan, tetapi sesuatu yang di luar PdP. Sebagai contoh:
i)                    Perbezaan pencapaian akademik antara pelajar asrama & pelajar harian
ii)                   Faktor-faktor yang mempengaruhi minat pelajar untuk belajar
iii)                 Punca-punca penglibatan pelajar dalam kes gengsterisme
iv)                 Perbezaan pencapaian pelajar dalam peperiksaan sebelum & selepas kursus motivasi
v)                  Beban tugas guru di sekolah 

Tahun lepas, pada 8-10 Sept. 2014, saya menyertai Seminar Penyelidikan Pendidikan Peringkat Zon Sarawak yang diadakan di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Rajang, Sarawak. Seminar tersebut mengumpulkan para cendekiawan melibatkan guru-guru sekolah, pensyarah-pensyarah IPG serta pensyarah-pensyarah universiti yang membentangkan penyelidikan masing-masing. Antara kertas penyelidikan yang dibentangkan pada tahun lepas ialah:

i)                    Pendekatan didik hibur dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu: Tinjauan terhadap sikap dan minat murid orang asli di negeri Perak.
(Tn. Hj. Mohd Razak b. Mohd Nordin & Pn. Noradzimah bt Abdul Majid, IPGK Ipoh)

ii)                   Aplikasi peta pemikiran (i-think) dalam pengajaran dan pembelajaran : Suatu tinjauan
(Pn. Jauriah bt Md Azali & En. Muhamad Munir b. Ismail, IPGK Perlis)

iii)                 Tekanan kerja guru sekolah pribumi daerah Gua Musang
(En. Mohd Zaki b. Ab Rahim & Pn. Kasnimi Mat Seman, IPGK Kota Bharu)

Daripada tajuk kertas penyelidikan yang dibentangkan, boleh dikatakan bahawa penyelidikan pendidikan biasanya berbentuk tinjauan dan kajian kes. Objektif utama sesebuah penyelidikan adalah bukan untuk memikirkan jalan penyelesaian masalah, tetapi bagi mendapatkan data kajian seperti faktor ataupun implikasi sesuatu isu / perkara berkaitan pendidikan. Hasil dapatan kajian ini yang merupakan sesuatu yang sangat penting bagi pihak-pihak yang terlibat dalam bidang pendidikan.

Penyertaan dalam seminar ini memberikan pendedahan awal kepada saya tentang pelaksanaan sesebuah penyelidikan pendidikan. Banyak perkara yang dapat ditimba hasil perbincangan bersama pensyarah-pensyarah berkaliber yang langsung tidak lokek ilmu. Akan tetapi, masih banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari.

Kesimpulannya, setiap guru sebenarnya sangat digalakkan untuk melaksanakan Projek Inovasi, Kajian Tindakan ataupun Penyelidikan. Hasil kajian yang kita jalankan dapat meningkatkan kemahiran profesionalisme seseorang guru. Melalui hasil kerja penyelidikan dan inovasi, golongan pendidik dapat merangka dan melaksanakan strategi PdP secara lebih berkesan dan kreatif seiring dengan perubahan arus pendidikan global. Jika ada peluang, sertailah seminar / persidangan berkaitan Projek Inovasi / Kajian Tindakan / Penyelidikan. Banyak ilmu yang akan dapat dipelajari di samping suntikan semangat untuk turut sama memperkasakan lagi bidang pendidikan di negara kita.

Selain itu, cari juga sumber-sumber lain yang boleh membantu atau bersama-sama kita dalam lapangan ini. Semasa saya menjalankan kajian tindakan dahulu, saya tunjukkan laporan saya pada pensyarah-pensyarah IPG. Pengetua saya turut memberikannya kepada pengetua di sekolah lain. Dengan ini, kita akan mendapat maklum balas dan kritikan membina daripada mereka yang lebih arif agar kita dapat membaiki kelemahan-kelemahan yang ada. Saya juga banyak mendapat bimbingan daripada rakan sekerja yang sudah punya banyak pengalaman. Yang penting, usah malu bertanya.

p/s: Jika berminat, boleh google Buku Inovasi Guru. Himpunan kajian / inovasi yang dibentangkan semasa Persidangan Inovasi Negeri Sarawak pada tahun lepas, boleh muat turun Buku Inovasi Guru 2014. 

Saturday 22 August 2015

Pengalaman Menyertai Persidangan Inovasi Negeri Sarawak 2015

Persidangan Inovasi, Kajian Tindakan & Penyelidikan Guru merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh SMK Sacred Heart Sibu dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) dan University College of Technology Sarawak (UCTS) Sibu. 



Ianya telah diadakan pada 15 Ogos 2015, iaitu hari Sabtu lepas. Tema Persidangan Inovasi pada tahun ini ialah “Inovasi Pemangkin Kemenjadian Generasi Inovatif”. Persidangan ini merupakan sebuah persidangan peringkat negeri Sarawak yang bertujuan menjadi platform perkongsian inovasi dan penyelidikan guru dari pelbagai bahagian negeri Sarawak. Kertas kerja yang dibentangkan meliputi 3 aspek, iaitu Projek Inovasi, Kajian Tindakan (action research) dan Penyelidikan (research) yang telah dijalankan oleh guru-guru di Sarawak pada tahun 2014.

Kali pertama saya menyertai persidangan ini adalah pada tahun lepas selaku peserta. Masa tu saya baru mula berjinak-jinak dengan Kajian Tindakan & Projek Inovasi. Jadi, saya mahu menimba ilmu & pengalaman di samping meneroka idea-idea baru untuk diaplikasikan dalam bilik darjah nanti. Hasil pengamatan saya, saya mendapati bahawa projek inovasi tidaklah sesukar yang saya bayangkan selama ini. Apa yang penting ia memerlukan keberanian dan kerajinan serta sedikit suntikan kreativiti. Sebenarnya ramai antara kita yang telah menjalankan inovasi dalam bilik darjah, sama ada sedar mahupun tidak. Namun, bezanya adalah pada dokumentasi. Ada guru-guru yang begitu kreatif dan membina pelbagai BBM yang menarik, tetapi tidak didokumentasi dan dikongsi dengan guru-guru lain. Maka, rugilah. Bertitik tolak dari situ, saya mula membuat perancangan untuk melaksanakan projek inovasi secara lebih serius dan terancang. Saya bernasib baik kerana punya rakan sekerja yang sehaluan dengan saya di mana dia banyak membantu dan membimbing saya hasil pengalamannya yang meluas.

Apabila SMK Sacred Heart mula mengedarkan surat jemputan ke persidangan pada tahun ini, saya dan dua orang lagi guru SMKBA menghantar permohonan sebagai pembentang. Kami tidaklah berharap sangat kerana sedar bahawa tempat selaku pembentang adalah terhad. Tambahan pula kami perlu bersaing dengan guru-guru lain yang lebih senior dan berpengalaman. Awal bulan Jun lalu, saya menerima berita baik melalui e-mel dari SMKSH menyatakan bahawa projek inovasi saya telah dipilih untuk dibentangkan semasa persidangan inovasi pada bulan Ogos nanti. Tambah menggembirakan apabila 2 orang lagi guru SMKBA turut dipilih selaku pembentang.

Persidangan Inovasi peringkat Negeri Sarawak 2015 telah dirasmikan oleh Pengarah JPNS sendiri, iaitu Pn. Rakayah bt Hj. Madon. Majlis bermula seawal jam 8.30 pagi di Dewan Kuliah UCTS dengan ketibaan Pengarah JPNS yang diiringi persembahan Bagpipe Band, tarian singa dan paluan kompang serta bunga manggar. Acara sambutan untuk Pengarah JPNS mengimbau kenangan saya pada tanah semenanjung. Lima tahun berada di Bumi Kenyalang, saya sudah biasa dengan Ngajat Ngalu Temuai (Ngajat Welcoming Dance) dan Taboh Iban. Sudah lama tidak mendengar paluan kompang dan melihat bunga manggar. Bagpipe Band pula mengingatkan saya pada SMK St. John KL, tempat saya menjalani latihan mengajar di mana saya menjadi pembantu guru penasihat untuk bagpipe band sekolah tersebut yang begitu terkenal.

Usai nyanyian lagu kebangsaan, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengetua SMKSH, En. David Teo Wu, diikuti Timbalan Naib Cancelor UCTS, Prof. Dato’ Dr. Sabaruddin b. Mohd. Dalam intipati ucap utama Puan Pengarah JPNS, saya tertarik dengan teguran beliau terhadap guru-guru yang suka ‘memberi label’ kepada pelajar-pelajar dalam kelas dan bersikap pilih kasih.



Setelah tirai persidangan dibuka dengan rasminya, sesi pembentangan pun bermula. Terdapat dua sesi pembentangan, iaitu sesi plenary dan sesi selari. Sesi plenary memperlihatkan pembentangan kertas penyelidikan di peringkat universiti oleh pensyarah-pensyarah yang dijemput khas. Tiga orang pensyarah yang telah membentangkan kajian mereka adalah:
i)                    Prof. Madya Dr. Patrick Then
Swinburne University of Technology (Sarawak Campus) 

ii)                   Prof. Madya Dr. Pauline Ho
Curtin University (Sarawak)

iii)                 En. Daniel Tan Yong Wen
University College of Technology Sarawak

Kajian yang dibentangkan oleh pensyarah universiti adalah lebih meluas dengan tahap yang lebih tinggi berbanding dengan kajian guru yang lebih berfokus dalam bidang pendidikan. Walau apapun, melihat pembentangan kertas penyelidikan universiti merupakan suatu pendedahan yang sangat baik terutamanya dari segi metod kajian. Manalah tahu, suatu hari nanti ada rezeki untuk sambung belajar di peringkat master atau PhD. Ehem!

Sesi pembentangan sidang selari bermula pada jam 11.40 pagi. Terdapat 36 kertas kajian yang akan dibentangkan di 6 buah bilik tutorial. Saya merupakan pembentang terakhir di Bilik 6. Pembahagian kertas pembentangan semasa persidangan pada kali ini dilihat lebih teratur dan terancang di mana ianya dibahagikan mengikut bidang. Misalnya di bilik 1, kebanyakan kertas yang dibentangkan adalah berkaitan mata pelajaran BM dan BI. Manakala di bilik 6 pula, semua kertas yang dibentangkan merupakan projek inovasi bagi mata pelajaran Sains Tulen. Jadi, tidak perlulah saya berulang-alik ke bilik-bilik lain untuk melihat projek inovasi bagi mata pelajaran Fizik, Kimia dan Biologi. Pembentangan kami turut disertai oleh pensyarah-pensyarah jemputan.




Alhamdulillah, pembentangan saya berjalan dengan lancar tanpa rasa gugup. Sesi soal jawab pula berlalu tanpa ada peserta yang bertanyakan soalan. Jadi, bilik kami merupakan bilik terawal yang tamat sesi selari.



Selepas rehat pada waktu tengah hari, para pembentang menyertai satu sesi perbincangan bersama para panel review yang terdiri daripada pensyarah-pensyarah universiti. Mereka memberikan komen terhadap pembentangan kami secara umum di samping memberikan cadangan-cadangan bernas untuk penambahbaikan. Mereka agak terkejut (surprised) melihat usaha guru-guru yang menjalankan kajian / penyelidikan di sekolah dalam kekangan masa dan tugas hakiki walaupun guru tidak diwajibkan untuk melaksanakan kajian sepertimana pensyarah di universiti.  

Rumusannya, penglibatan dalam acara persidangan seperti ini dapat membuka minda dan menyuntik motivasi untuk terus melaksanakan perubahan dan penambahbaikan dalam PdP. Tidak bermakna kita guru yang sempurna. Tetapi apa yang penting adalah usaha ke arah mencapai kesempurnaan.




p/s: Semakin banyak ilmu yang digali, semakin banyak yang kita tidak ketahui. Usaha tanpa henti, moga Allah berkati. 

Thursday 13 August 2015

Projek Inovasi Kimia 2014 : KAD MNEMION



Projek Inovasi ini merupakan sebahagian daripada Kajian Tindakan yang saya jalankan pada tahun 2014. Tajuk yang dipilih ialah Formula Kimia yang merupakan subtopik dalam Bab 3 Kimia Tingkatan 4 : Formula & Persamaan Kimia. 

Kad Mnemion (mnemonik + ion) merupakan satu set kad imbas (flash card) yang menggabungkan senarai formula ion bersama mnemonik bagi memudahkan pelajar mengingati formula ion. Tujuan utamanya adalah bagi memudahkan pelajar menulis formula kimia sebatian dan seterusnya dapat membina persamaan kimia dengan lebih mudah. 

Kad Mnenion dibahagikan kepada 2 bahagian, iaitu kation dan anion. 
Senarai ion disusun mengikut kumpulan cas pada ion serta mnemonik pada bahagian belakang. 




Penerangan terperinci tentang bagaimana Kad Mnemion ini dihasilkan dan digunakan bolehlah merujuk / memuat turun Laporan Projek Inovasi Kimia 2014. 

Berikut merupakan abstrak hasil pelaksanaan projek inovasi saya: 


ABSTRAK 


Projek inovasi ini dilaksanakan bagi membantu pelajar untuk mengingati senarai formula ion serta meningkatkan kemahiran pelajar untuk menulis formula kimia. Berdasarkan pemerhatian yang dilakukan semasa proses PDP, didapati kesemua 17 orang pelajar 4 Sains sukar menguasai kemahiran menulis formula kimia dengan betul. Dengan itu, suatu inovasi telah dilaksanakan bagi mengenal pasti punca masalah yang dihadapi oleh para pelajar serta mencari kaedah terbaik dan berkesan bagi mengatasinya. Semua pelajar Tingkatan 4 Sains, iaitu seramai 17 orang terlibat dalam kajian ini. Tinjauan awal telah dilaksanakan melalui ujian pertengahan penggal pertama dan ujian pra. Hasil tinjauan menunjukkan pelajar sukar untuk mengingati simbol-simbol ion dan cas-cas pada ion positif dan negatif  yang menjadi punca utama kegagalan pelajar menulis formula kimia dengan betul. Pelajar juga tidak berminat untuk menghafal kerana bilangannya yang terlalu banyak. Perancangan tindakan difokuskan kepada 3 aktiviti. Aktiviti pertama ialah memperkenalkan dan membiasakan pelajar dengan simbol-simbol ion serta cas-cas pada ion dengan menggunakan Kad Mnemion. Aktiviti kedua ialah mengasingkan ion-ion positif dan negatif berdasarkan nilai cas pada ion dan menghafal setiap ion dengan menggunakan kaedah mnemonik. Aktiviti yang ketiga pula ialah menulis formula kimia dengan cara menggabungkan Kad Mnemion bagi ion positif dan kad imbas bagi ion negatif. Keputusan ujian pos menunjukkan 11 daripada 15 orang pelajar berjaya menyenaraikan semua formula ion dengan betul, iaitu peningkatan sebanyak 73% berbanding dengan ujian pra. Manakala 14 orang pelajar telah menunjukkan peningkatan yang mendadak bagi markah yang diperoleh melalui ujian pos. Dengan ini, dapat dirumuskan bahawa penggunaan kad imbas dan kaedah mnemonik telah berjaya meningkatkan ingatan pelajar terhadap formula ion seterusnya meningkatkan kemahiran pelajar menulis formula kimia dengan betul.  





Friday 7 August 2015

Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 5

Hari terakhir Karnival Sains pada tahun ini. Seperti tahun-tahun sebelum ini, hari terakhir akan diisi dengan program ceramah “Klik Dengan Bijak” oleh Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia (SKMM / MCMC) cawangan Sibu. 


Program ceramah ini merupakan salah satu program kesedaran keselamatan internet yang dianjurkan oleh SKMM. Mereka sering menganjurkan program ceramah seperti ini di sekolah-sekolah dan bersedia untuk dijemput oleh mana-mana pihak / agensi / komuniti bagi mengadakan program berkaitan keselamatan internet.


Melalui ceramah tersebut, pengguna internet didedahkan dengan langkah-langkah keselamatan semasa menggunakan internet. Kita juga diingatkan agar tidak menyalahgunakan internet untuk tujuan yang negatif seperti menyebarkan fitnah, memuatnaik status ataupun gambar yang tidak bermoral.


Pihak SKMM turut berkongsi dengan kami statistik aduan kes yang mereka terima berkaitan dengan dunia maya ini. Setiap hari pasti ada sahaja aduan yang diterima berkenaan penyalahgunaan internet. Itu baru di Sibu sahaja, belum lagi dikira seluruh negara. Antara aduan yang banyak diterima adalah tentang penipuan melibatkan wang, penyebaran berita palsu, love scam dan sebagainya.

Penyebaran berita palsu banyak terjadi apabila ramai pengguna internet yang terlampau teruja untuk like dan share sesuatu berita di media sosial tanpa menyelidik kebenarannya terlebih dahulu. Akibatnya, semakin ramai yang terdedah dengan berita yang tidak benar sehinggakan kadang-kadang boleh menjejaskan keharmonian dalam masyarakat. Jadi, pastikan anda selidik dahulu sesuatu perkara sebelum like, comment, ataupun share. Jika ternyata berita yang anda kongsikan itu adalah palsu, anda juga boleh didakwa mengikut Akta Komunikasi & Multimedia Malaysia.


Kalau nak cerita semua input ceramah tadi di sini, sampai esok pun belum habis. Hehe…… jadi, jika mahukan maklumat lebih lanjut tentang keselamatan internet, peranan SKMM dan juga program “Klik Dengan Bijak” bolehlah follow mereka di media sosial ataupun search sahaja di YouTube.


Jutaan terima kasih diucapkan kepada En. Nading dan Pn. Farzana dari SKMM Sibu yang sudi datang ke sekolah kami. Tak sesat walaupun pertama kali datang ke sini boleh dikira hebatlah. Hehe…. Ceramah yang menarik, pegawai SKMM yang peramah dan sporting serta cenderahati yang best, sememangnya menjadi penutup yang baik buat Karnival Sains & Teknologi 2015. 





Sebelum: Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 4 
                # Kuiz Perdagangan
                # I am CEO

Thursday 6 August 2015

Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 4

Aktiviti pada pagi ini dikendalikan oleh Panitia Perdagangan. Aktiviti dimulakan dengan Kuiz Perdagangan untuk pelajar-pelajar Tingkatan 1, 2 dan 4 selama satu jam, iaitu dari pukul 7.30 – 8.30 pagi.



Bermula pada jam 9.30 pagi, pelajar-pelajar yang terlibat memulakan aktiviti “I Am CEO”. Melalui aktiviti ini, pelajar-pelajar dilatih untuk mengaplikasikan ilmu perniagaan dan keusahawanan yang dipelajari dalam mata pelajaran Perdagangan. Mereka menjual makanan seperti nasi lemak, kuih, minuman dan aiskrim. Promosinya telah dijalankan bermula semalam (hari Rabu) melalui edaran iklan.



Pada sebelah petang pula diadakan pertandingan parachute (roket & payung terjun) di bawah bimbingan Cikgu Sembi. Selain daripada Pertandingan Saintis Muda, pertandingan ini juga merupakan salah satu kategori pertandingan semasa Karnival Sains peringkat daerah, iaitu Aeroangkasa.



Nampak seperti mudah, tetapi memerlukan ketepatan teknik bagi memastikan roket dapat dilancarkan jauh dan payung terjun dapat terbuka dengan sempurna. Pertandingan ini hanya melibatkan pelajar-pelajar Tingkatan 4 sahaja. 



                                # Saintis Muda
                                # Pameran
                                # Demo Sains 

Sebelum: Karnival Sains & Teknologi SMKBA 2015 : Hari 5
                               # Klik Dengan Bijak